Pengguguran gandingan beregu lelaki senior, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, daripada kem kebangsaan menjadi kejutan tahun baru daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang turut menyingkirkan lima lagi nama susulan mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan dan latihan (C&T) badan itu hari ini.

Situasi itu bermakna skuad kebangsaan hanya memiliki dua beregu berstatus senior yang diketuai gandingan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, di samping pasangan Nur Izzudin Rumsani-Goh Sze Fei, yang masih mencari rentak konsisten.

Tiga lagi nama membabitkan skuad perseorangan lelaki tatkala Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Ziyad Md Tah ditunjukkan jalan keluar dan baki dua lagi nama adalah daripada kalangan beregu wanita.

Keputusan itu menyaksikan BAM kini memiliki 39 pemain senior yang membentuk lima skuad secara keseluruhan.

"Dalam mana-mana organisasi sukan, kami harus lakukan penilaian dan melihat prestasi keseluruhan sebelum membuat keputusan sama ada mengekalkan atau menggugurkan pemain," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

"Ada yang kami lepaskan tetapi saya mahu tegaskan bahawa kami telah berbincang dengan mereka dan memaklumkan pintu masih belum tertutup. Jika mereka membuktikan kemampuan, peluang sentiasa ada."



Editor: Nafis Abdullah