Tiada niat untuk memperkecil pasukan Piala Uber negara sebaliknya Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, bersikap realistik peluang pasukan wanita untuk mencipta impak di Chengdu, China dan atas faktor itu

Rexy malah memberikan bayangan gandingan beregu nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, diketepikan untuk menumpukan persiapan ke Sukan Olimpik Paris.

Pendirian Rexy itu ada rasionalnya memandangkan skuad negara merupakan pilihan ke-10 Piala Uber dan membuka peluang keemasan itu buat beregu muda diketengahkan di kejohanan berprestij itu.

“Secara realistiknya sekiranya Pearly-Thinaah beraksi di Piala Uber mereka ada peluang menang satu perlawanan, namun nanti kesudahannya jadi 1-4 (tewas). Kita bukan mahu memperkecilkan peluang skuad Piala Uber namun itulah realitinya.

“Bagaimanapun, ini bukan keputusan akhir kerana kami akan bincang dan dengar pandangan daripada pihak pengurusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” katanya.

Skuad negara berdepan misi sukar di Chengdu, berada dalam Kumpulan B, bersama pilihan keempat Thailand, Taiwan dan Australia.

Rexy berpendapat, edisi kali ini bakal menyaksikan perubahan ideologi yang bakal ditampilkan dengan penekanan terhadap pendedahan gandingan muda seperti, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan serta Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing.

Jika benar Pearly-Thinaah diketepikan, ianya akan memberi ruang buat beregu ke-13 dunia itu rehat dan persiapan tambahan selama seminggu menuju misi getir di Paris kelak.

Rexy turut berasakan, jika gandingan negara itu dipertaruhkan, adakah ianya berbaloi kerana ianya merupakan kejohanan berpasukan dan di atas kertas, skuad negara dijangka tidak mampu menggugat kuasa besar yang lain dan diletakkan sebagai pilihan ke-10.