Pemain perseorangan badminton negara, Eoon Qi Xuan, sedia mengisi kekosongan yang ditinggalan bekas taruhan utama negara, Goh Jin Wei, menjelang perlawanan menentang Denmark dalam aksi Kumpulan D, Piala Uber di Aarhus, Denmark malam esok.

Malaysia layak secara merit ke kejohanan dwitahunan itu selepas layak ke separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Manilla tahun lalu.

Ketika itu, Qi Xuan langsung tidak diturunkan meskipun berada dalam pasukan.

Bagaimanapun, menjelang saingan Piala Uber kali ini, dia dijangkan akan diturunkan sebagai perseorangan kedua di belakang S. Kisona dan Qi Xuan sedar bahawa dia perlu memberikan aksi terbaiknya menjelang penampilan pertamanya dalam kejohanan itu

"Saya tidak rasa kita merupakan pasukan yang lemah kerana kita mempunyai kekuatan tersendiri," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Kami semua sudah bersiap sedia untuk menghadapi lawan dari negara lain yang lebih kuat.

"Kami akan memberikan yang terbaik dan mengeluarkan semua yang kami ada di atas gelanggang.

"Jika saya berdepan lawan di ranking lebih tinggi, saya tiada sebarang tekanan kerana mereka yang akan lebih tertekan.

"Saya pasti dapat memberikan saingan kerana mereka (lawan) juga akan berasa tertekan," katanya.

Sebagai rekod, Qi Xuan menyumbangkan satu mata selepas menewaskan pemain Mesir, Doha Hany, 21-5, 21-7 dalam Piala Sudirman minggu lalu.