Malaysia hampir pasti terkandas di peringkat kumpulan Piala Uber 2020 selepas tewas 0-5 kepada China dalam perlawanan Kumpulan D di Aarhus, Denmark sebentar tadi.

Selepas tewas 1-4 kepada Denmark semalam, Malaysia akan sah terkandas di peringkat kumpulan seandainya pasukan tuan rumah itu menewaskan Kanada dalam satu lagi perlawanan hari ini.

Skuad negara menurunkan Eoon Qi Xuan -- yang menyumbangkan mata tunggal negara semalam -- selaku perseorangan pertama untuk berdepan pemain nombor dua dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Chen Yu Fei.

Jurang kualiti di antara kedua-dua pemain kelihatan ketara sebelum Qi Xuan akur tewas 13-21, 11-21 dalam masa 31 minit.

Beregu eksperimen, Lee Meng Yean-M. Thinaah, yang baru digandingkan buat kali pertama semalam, turun membawa cabaran negara menentang gandingan nombor 21 dunia, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting, dan biarpun tewas mudah 12-21 dalam set pertama, beregu negara itu mula mempamerkan keserasian dalam set berikutnya sebelum tewas melawan 17-21.

Paling mencuri tumpuan adalah penampilan pertama pemain berusia 17 tahun, Siti Nurshuhaini Azman, yang turun berdepan pemain di ranking kesembilan dunia, He Bing Jiao.

Ada sinar keyakinan yang tertera di raut wajah pemain remaja di ranking ke-455 dunia itu tetapi jurang kualiti dan pengalaman di antara kedua-dua pemain membataskan kemampuan Siti Nurshuhaini sebelum tewas 8-21, 3-21 dalam masa 23 minit.

Malaysia menggandingkan satu lagi beregu baru dalam perlawanan keempat, di mana Teoh Mei Xing dipasangkan dengan Go Pei Kee untuk berdepan Huang Dong Ping- Jia Yi Fan dan seperti yang diduga, mereka hanya mampu bertahan selama 34 minit sebelum tewas 9-21, 12-21.

Cabaran terakhir Malaysia digalas oleh pemain berusia 18 tahun, K. Letshanaa, dan pemain di ranking ke-777 dunia itu mengerahkan segala yang termampu sebelum tunduk 15-21, 11-21 kepada Wang Zhi Yi.

Seterusnya, skuad wanita negara akan berdepan turun berdepan Kanada dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D esok.