"S. Kisona perlu rehat." Saranan itu dilontarkan Presiden Persatuan Badminton India Malaysia (Miba), Datuk V. Radhakrishnan, yang menganggap pemain perseorangan wanita tersebut memerlukan tempoh rehat yang secukupnya untuk memulihkan semula semangatnya selepas berdepan isu berbaur perkauman baru-baru ini.

Juara Sukan SEA 2019 itu tidak dapat menjelmakan prestasi bertenaga sebagaimana dalam kempen Piala Sudirman minggu lalu apabila tumpas 9-21, 14-21 kepada Talia Ng, awal pagi tadi.

Keputusan itu secara tidak langsung menutup peluang kemaraan negara dalam Piala Uber edisi kali ini.

"Memang mengejutkan dia tewas kepada lawan dari Kanada yang berada di ranking yang lebih rendah, awal pagi tadi.

"Selepas pencapaian hebat dalam Sukan SEA lalu, tetapi apa yang berlaku dalam Piala Sudirman dan Piala Uber jelas menjejaskannya.

"Saya rasa sebaik pulang, dia perlu pulih daripada segi mental dan fizikal sebelum menyertai kejohanan seterusnya.

"Dia tidak perlu hentikan perjuangannya. Pemain-pemain muda ini sangat mengagumkan. Ini langkah terbaik daripada BAM sejak sekian lama dengan menghantar pemain muda," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Dalam perkembangan sama, Miba turut mengumumkan pemain perseorangan profesional, V. Rooben Raj, yang berusia 22 tahun bakal menyertai kelab berpengkalan di Qatar, New Vision Badminton Sport selaku pemain dan jurulatih selama setahun.