Skuad Piala Uber negara terpaksa akur selepas tewas 5-0 berdepan Thailand dalam perlawanan kedua Kumpulan D di Pusat Sukan Hi-Tech Zone, China sebentar tadi.

Malaysia memulakan langkah kiri dalam perlawanan pertama selepas Karupathevan Letshanaa tewas kepada lawan yang berada di kedudukan ke 16 dunia Supanida Katethong 21-17,21-6.

Pasukan Thailand terus menghukum skuad negara apabila pasangan beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing terpaksa akur berdepan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-10,21-14.

Perlawanan ketiga yang menjadi tumpuan menyaksikan Wong Ling Ching tidak berjaya mencuri mata daripada pemain lawan Pornpawee Chochuwong apabila tewas 21-11, 21-14 justeru menutup peluang buat skuad wanita negara secara keseluruhannya.

Tan Zhing Yi-Chan Wen Tse melengkapkan perlawanan keempat dengan kekalahan 21-12,21-8 untuk memberikan Thailand mata keempat.



Siti Nurshuhaini yang turun sebagai perseorangan kelima memberikan kemenangan bersih buat Thailand 5-0 selepas tewas kepada pemain di kedudukan ke 20 dunia, Busanan Ongbamrungphan 21-5,21-8 yang jelas lebih berpenggalaman.



Perjalanan skuad wanita negara berakhir dalam saingan Piala Uber dan akan melengkapkan jadual perlawanan terakhir Kumpulan B bertemu Australia pada Rabu nanti.