Pengarah Teknikal Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, beranggapan skuad lelaki negara berpeluang cerah untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir Piala Thomas 2022 di Bangkok bulan depan.

Selain itu, dia juga yakin skuad wanita negara masih berpeluang untuk menjadi dua pasukan terbaik dalam saingan Kumpulan C, Piala Uber.

Dalam satu temu bual Astro Arena, Rexy berkata: "Untuk Piala Thomas, peluang untuk ke suku akhir memang ada cuma kita akan lihat persaingan dengan Jepun untuk menjuarai peringkat Kumpulan D.

"Untuk Piala Uber pula, kita boleh mengatasi Mesir kerana mereka tidak mempunyai banyak pemain dan pemain perseorangan juga mungkin terpaksa bermain dalam acara beregu.

"Jadi, kita perlu mencuri mata ketika menentang Denmark kerana beregu mereka mungkin tidak setaraf kita.

"Jika hendak bercakap mengenai Thailand, mereka memang terlalu kuat, terutama di bahagian perseorangan," katanya.

Sebagai rekod, skuad lelaki negara diundi bersama Jepun, England dan New Zealand dalam Kumpulan D, Piala Thomas manakala pasukan wanita pula diletakkan dalam Kumpulan C, Piala Uber bersama Thailand, Demark dan Mesir.