Perebutan hangat berlaku dalam kalangan beregu lelaki negara bagi mendapatkan tiket terakhir mewakili skuad Piala Thomas susulan perancangan membawa kembali pemain berpengalaman, Tan Boon Heong, tidak menjadi.

Kegagalan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Boon Heong untuk mencapai kata sepakat menyaksikan mereka perlu kembali kepada perancangan asal dengan memberikan kepercayaan kepada gandingan yang meningkat naik.

Antara yang berada dalam senarai adalah gandingan Izzudin Rumsani dan Goh Sze Fei.

Namun, mereka menyedari bahawa penyenaraian dalam kempen kelayakan sebelum ini masih belum memberikan sebarang jaminan terhadap peluang mereka untuk berada dalam skuad ke pusingan akhir Piala Thomas.

Sze Fei juga akur terdapat kekurangan yang perlu segera ditangani dia dan Izzudin untuk membentuk satu gandingan yang lebih ampuh jika mahu ke Piala Thomas.

Komunikasi dan persefahaman dalam gelanggang menjadi keutamaan yang harus diperbaiki menjelang kejohanan yang bakal disertai hujung bulan ini, Terbuka Orleans di Perancis.

"Peluang kami ada tetapi masih kurang kerana gagal mempamerkan persembahan cemerlang dalam kejohanan yang kami sertai," kata Sze Fei.

"Kami berharap memperbaiki lagi permainan untuk beraksi dengan lebih cemerlang jika mahu menyertai skuad Piala Thomas."