Jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele, masih mengunci mulut mengenai gandingan pemain yang bakal diturunkan menentang Kanada dalam aksi pembukaan Piala Thomas membabitkan Malaysia, awal pagi esok.

Flandy tampak berahsia daripada segi taktikal terutama barisan beregu lelaki yang bakal diturunkan biarpun sebelum ini kelihatan beberapa pemain seperti Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dipecahkan apabila berlatih dengan pasangan berlainan.

"Hanya antara pemain, barisan jurulatih dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sahaja yang tahu cuma ia salah satu daripada strategi.

"Saya juga akan menilai mereka menerusi prestasi di atas gelanggang," katanya.

Di atas kertas, ranking dan kualiti dua beregu lelaki utama negara mempunyai kelebihan jika dibandingkan lawan, dengan Aaron dan Woii Yik berada di tangga ke lapan dunia, manakala Goh Sze Fei dan Nur Izzudin Rumsani berada di tangga ke-26 dunia.

Namun, pengendali dari Indonesia itu turut dalam pertimbangan sama ada mahu memberi peluang kepada pemain muda seperti Tee Kai Wun-Man Wei Chong yang menampilkan prestasi meyakinkan di dalam Piala Sudirman di Finland minggu lalu serta seorang lagi pemain, Low Hang Yee, yang turut mengidamkan penampilan pertama dalam kempen kali ini.

"Bergandingan dengan siapa pun tidak kisah.

"Kami tidak tahu lagi percaturan jurulatih dan apa yang boleh atlet lakukan ialah berlatih dengan yang terbaik, " kata Wei Chong.





Dalam acara perseorangan lelaki pula, Ng Tze Yong, mengintai peluang untuk menggalas cabaran ketika berdepan Kanada selepas membuktikan kemampuannya menyaingi pemain yang lebih senior dalam skuad negara.

Juara Terbuka Poland itu hadir ke Piala Sudirman dan Piala Thomas selepas persembahan memberangsangkan dalam kejohanan ranking dalaman BAM bulan lalu.

"Pihak lawan di ranking yang lebih baik disebabkan lebih banyak menyertai kejohanan.

"Saya sempat diturunkan dalam Piala Sudirman, jadi saya ada rentak kejohanan.

"Saya rasa saingan bahagian perseorangan kali ini agak sengit," katanya pula.