Perseorangan lelaki negara, Justin Hoh, berkata dia pada satu ketika berasa tertekan kerana tarlalu mahu cepat memenangi set kedua sebelum terpaksa bangkit dalam set ketiga aksi Piala Thomas menentang Hong Kong di Chengdu, China hari ini.

Berdepan Chan Yin Chak, Justin kehilangan momentum pada pertengahan set pertama tetapi mujur mendapatkan kembali rentaknya sebelum menang 21-17.

Bagaimanapun, masalah sama menghantuinya dalam set kedua tetapi kali ini, selepas membenarkan lawan menyamakan kedudukan 16-16, justin terpaksa akur tewas 19-21.

Dia kemudian kelihatan dapat mengawal tekanan yang dihadapinya dalam set penentuan dan biarpun lawan berhasil merapatkan kedudukan menuju ke penghujung saingan, Justin kekal tenang untuk menamatkan pertarungan itu dengan kemenangan 21-17.

Dalam satu wawancara bersama wartawan Astro Arena, Syifa Nasir, selepas perlawanan itu, Justin berkata: "Dalam fasa akhir perlawanan, saya berasa agak getir kerana saya terlalu mahukan kemenangan.

"Saya terlalu mahu cepat menamatkan perlawanan, jadi ia memberikan tekanan kepada diri sendiri.

"Dalam set ketiga, saya cuba menenangkan diri dan segalanya menjadi lebih baik."

Malaysia memulakan kempen Piala Thomas 2024 dengan langkah kanan apabila mudah mengatasi Hong Kong 5-0