Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, berkata dia cuba mengubah corak permainan kepada lebih agresif dalam set kedua tetapi tidak menjadi sehingga tewas mudah kepada pemain China, Li Shi Feng, dalam aksi separuh akhir Piala Thomas di Chengdu malam tadi.

Selepas Lee Zii Jia tewas kepada Shi Yuqi, beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kembali menyamakan kedudukan buat skuad negara dengan mengatasi Liang Wei Keng-Wang Chang.

Ia menyaksikan tekanan memihak Jun Hao untuk meletakkan Malaysia di depan berdepan lawan di ranking keenam dunia berkenaan.

Jun Hao, yang berada di ranking ke-37 dunia, bagaimanapun, dapat memberikan saingan hebat dalam set pertama sebelum tewas 17-21.

Namun, dia tidak dapat mengekalkan rentak sama dalam set kedua dan terpaksa akur dengan kekalahan mudah 10-21.

"Saya sudah tertinggal dalam set pertama, jadi saya mahu bermain dengan lebih agresif dan menyerang dalam set kedua.

"Tetapi percaturan itu lebih tidak menjadi," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.

Malaysia gagal menamatkan penantian 10 tahun ke final Piala Thomas selepas tewas 1-3 kepada pasukan tuan rumah berkenaan.