Kehilangan sosok penting seperti Ng Tze Yong dalam skuad Piala Thomas tidak begitu mengganggu persiapan pasukan negara berdepan misi penting di Chengdu, China yang akan membuka tirainya pada 27 April ini.

Pemain beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia, berasakan walaupun kem pusat kali ini hanya bertempat di Akademi Badminton Negara (ABM) sahaja namun ianya mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Dalam pada itu, dia beranggapan perlawanan pertama menentang Hong Kong nanti merupakan misi yang penting untuk meraih kemenangan bagi memastikan kelancaran bagi pasukan negara berjaya menempah slot ke peringkat suku akhir.




"Saya rasa tidak mengganggu banyak persiapan dan bukan masalah besar kerana yang penting adalah semua pemain bersatu hati.

"Memang berbeza kerana dari dahulu di Pulau Tioman tetapi kini hanya di BAM sahaja dengan beberapa aktiviti yang kami tidak pernah lakukan sebelum ini kerana bagi saya ia klasik.

"Perlawanan pertama sangat penting kerana ia menyebabkan kita layak melangkah dalam pusingan seterusnya atau tidak memandangkan di atas kertas Denmark merupakan pasukan yang kuat dari segi perseorangan dan beregu.

"Berbeza dengan Malaysia yang merupakan 'Underdog' di atas kertas tetapi kami tetap akan melakukan yang terbaik." katanya.