Skuad badminton lelaki negara terkandas dalam suku akhir Piala Thomas 2022 selepas tewas 2-3 kepada India di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.

Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila perseorangan utama, Lee Zii Jia, tidak berdepan masalah untuk menumbangkan pemain nombor sembilan dunia, Lakshya Sen, 23-21, 21-9 dalam masa 46 minit.

Bagaimanapun, gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzudin Rumsani gagal mengatasi tekanan sebagai beregu utama sebelum akur tewas 19-21, 15-21 kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Kekalahan itu memberikan tekanan luar biasa buat pemain di ranking ke-46 dunia, Ng Tze Yong, yang ternyata masih belum mampu menggugat keampuhan pemain nombor 11 dunia, Kidambi Srikanth, untuk tewas mudah 21-11, 21-17.

Gandingan bidan terjun, Aaron Chia-Teo Ee Yi, kemudian kembali menyamakan kedudukan buat skuad negara dengan kemenangan 21-19, 21-17 ke atas Krishna Prasad Garaga-Vishnuwarshan Goud Panjala.

Bagaimanapun, tekanan yang diletakkan di bahu perseorangan ketiga, Leong Jun Hao, jelas terlalu besar di mana jurang ranking 101 anak tangga dengan H. S Prannoy jelas kelihatan -- Prannoy di ranking ke 23 Dunia -- sebelum tewas 13-21, 8-21 dalam masa 39 minit.