MALAYSIA 5 ENGLAND 0

Malaysia memulakan misi untuk menamatkan penantian Piala Thomas selama 30 tahun menerusi kemenangan bergaya 5-0 ke atas pencabar Kumpulan D, England.


Dalam kempen di Impact Arena, Bangkok, itu yang bermula pagi tadi, pasukan negara yang diketuai pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia, membuka langkah dengan kemenangan meyakinkan 21-10, 21-15 ke atas pemain berpengalaman, Toby Penty, dalam tempoh 36 minit.

"Saya rasa semuanya OK. Tiada masalah untuk kami mencipta menang ke atas England untuk mengekalkan sasaran menjuarai Piala Thomas.

"(Tahap) permainan hari ini tidak begitu sengit, saya belum berpuas hati dan perlu tingkatkan lagi (permainan) untuk kurangkan kesilapan.

"Dengan kekalkan momentum macam ini, persembahan kami akan lebih stabil termasuk (aspek) tumpuan," kata pemain Kedah itu yang masih segar dengan kejayaan meraih gelaran perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Filipina, dua minggu lalu.





Dan seperti yang dijangka selepas itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dituntut untuk menjelmakan prestasi terbaik dalam usaha menundukkan Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-15, 21-16 bagi melebarkan rekod kemenangan di antara beregu berkenaan kepada 3-0.

"Kemenangan ke atas England amat mustahak.

"Kami agak bergelut dalam set pertama tapi selepas itu kami dapat momentum," kata Aaron yang turut memohon penganjur agar memberi perhatian kepada soal pencahayaan di gelanggang apabila sukar mengagak arah bulu tangkis.

Dalam masa sama, jurang 156 anak tangga dunia tidak memberikan kelebihan buat Ng Tze Yong yang perlu mengerah keringat ketika berdepan Johnnie Torjussen sebelum mencipta kemenangan 21-16, 19-21, 21-11.

Selepas itu, wakil negara mencatat dua kemenangan straight set sekali gus melengkapkan mata bersih buat Malaysia yang menyaksikan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menewaskan Rory Easton-Zach Russ 21-13, 21-9, manakala Leong Jun Hao mengalahkan Cholan Kayan 21-11, 21-18.

Malaysia yang turun dengan reputasi juara Kejohanan Berpasukan Asia, Februari lalu, akan berdepan Amerika Syarikat (AS) esok sebelum ujian terakhir kumpulan dengan Jepun -- yang pernah mengecewakan Malaysia dalam final edisi 2014 selain menang 4-1 di peringkat kumpulan tahun lalu di Denmark.