MALAYSIA 3 JEPUN 2

Malaysia menghidangkan persembahan cemerlang untuk menewaskan Jepun 3-2 dan mengesahkan tempat sebagai juara Kumpulan D, Piala Thomas 2022 sebelum diundi bertembung India dalam suku akhir, awal pagi tadi.


Sehubungan itu, Malaysia akan menyambung perjuangan menentang India dalam kempen di Bangkok, malam ini.

Ia merupakan persembahan yang membuktikan keupayaan pemain kebangsaan untuk menewaskan sesiapa sahaja dalam misi menamatkan penantian selama 30 tahun negara dan ia seharusnya menyuntik keyakinan yang tinggi buat mereka sebagai bekalan ke peringkat kalah mati.

Terdapat beberapa perubahan dalam barisan pemain terutama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang beraksi sebagai beregu lelaki pertama, sementara Aaron Chia digandingkan dengan Teo Ee Yi.

Perlawanan pertama menyaksikan Lee Zii Jia dalam prestasi terbaik untuk menundukkan lawan yang bukan lagi asing baginya, Kento Momota.

Ia kemenangan berturut-turut ke atas pemain nombor dua dunia itu selepas turut menewaskan bintang negara Matahari Terbit tersebut dalam Terbuka Seluruh England pada Mac lalu.

Malah, Zii Jia memberi bayangan tentang prestasi sebenarnya dengan kemenangan 21-17 dalam set pertama disusuli menerajui set seterusnya 11-0 sebelum menang 21-8.




Sze Fei-Nur Izzuddin menambah kelebihan itu dengan kemenangan sensasi 21-19, 21-16 ke atas pasangan nombor empat dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Keputusan untuk meletakkan pasangan itu sebagai beregu pertama membuahkan hasil apabila mereka mengawal kebanyakan permainan rali, kekal stabil dijaring.

Kanta Tsuneyama mencuri satu mata buat Jepun selepas dituntut bermandi keringat untuk mengatasi pemain veteran, Liew Daren, 21-16, 22-20 dalam pertarungan yang berlangsung selama sejam.

Ia membuka jalan kepada Akira Koga-Yuta Watanabe untuk mengikat kedudukan ketika berentap dengan gandingan bidan terjun, Aaron Chia-Teo Ee Yi.

Pemain Malaysia itu mengesahkan aksi pertama yang cukup sengit 22-20 selepas kedua-dua beregu lelaki itu saling bertukar mata sebelum Aaron-Ee Yi memuktamadkan permainan 21-19.

Dengan tekanan mula mengendur, Leong Jun Hao memasuki perlawanan terakhir itu berdepan Kenta Nishimoto.

Ini adalah satu-satunya perlawanan yang berlangsung hingga tiga set yang dimenangi pemain Jepun itu 21-6, 19-21, 21-15.