Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, dalam satu ciapan X Team LZJ hari ini, melaungkan kesetiaan tidak berbelah bahaginya buat negara menjelang Kejohanan Badminton Piala Thomas di Chengdu, China bermula hujung bulan ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan bahawa pemain di ranking ke-10 dunia itu akan mengetuai cabaran skuad lelaki negara sebagai perseorangan utama, sekali gus menafikan desas-desus bahawa dia tidak mahu terlibat dengan kejohanan itu bagi memberikan tumpuan terhadap persiapan ke Sukan Olimpik Paris pada Julai depan.

"Lapan huruf yang membentuk nama negara tercinta saya, MALAYSIA, jauh lebih berat daripada lima huruf yang membentuk nama saya di belakang jersi saya.

"Ia merupakan satu penghormatan untuk saya membawa maruah Malaysia dalam kejohanan individu, bahkan ia lebih besar dalam acara berpasukan seperti kejohanan bersejarah Piala Thomas bersama rakan senegara saya.

"Terima kasih kepada BAM kerana terus mempercayai kemampuan saya untuk membantu pasukan ini," katanya.