India mencipta sejarah apabila menjadi negara keenam pernah memenangi Piala Thomas selepas menewaskan Indonesia 3-0 dalam aksi final di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.

Dalam laluan ke final, pasukan juara itu turut menyingkirkan Malaysia dalam suku akhir dan menjadikan Denmark sebagai mangsa dalam separuh akhir.

Perseorangan utama India, Lakshya Sen, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan pemain nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting, 18-21, 21-17, 21-16 dalam masa sejam lima minit untuk memberikan mata pertama pasukannya.

Beregu utama, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, turut mempamerkan aksi cemerlang untuk menidakkan gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan-Kevin Sanjaya Sukamuljo, 18-21, 23-21, 21-19.

Dua mata pertama yang diperoleh India jelas memberikan tekanan luar biasa buat perseorangan kedua Indonesia, Jonatan Christie, yang hanya dapat bertahan selama 48 minit sebelum tewas 15-21, 21-23 kepada Kidambi Srikanth untuk India bergelar juara.

Selain dua finalis berkenaan, hanya China, Malaysia, Denmark dan Jepun pernah menjadi juara sepanjang penganjuran Piala Thomas.

Korea Selatan, dalam pada itu, menjuarai Piala Uber selepas menewaskan China 3-2 semalam.