Pemain beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia, yakin Malaysia mampu merebut pingat dalam saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand bulan depan walaupun akan sekali lagi berdepan Jepun di peringkat kumpulan.

Dalam majlis undian hari ini, Malaysia diletakkan sekumpulan dengan pasukan pilihan kedua, Jepun, selain England dan New Zealand dalam Kumpulan D.

Ia seakan-akan ulangan edisi 2020 tahun lalu, di mana hajat Malaysia untuk menjuarai Kumpulan D disekat pasukan juara 2014 itu.

Bagaimanapun, Aaron, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, berkata dia yakin skuad negara mampu menghadapi mana-mana lawan dan berupaya mendapatkan pingat berdasarkan pencapaian layak ke suku akhir edisi lalu dan memenangi pingat gangsa Piala Sudirman tahun lalu.

Gandingan kepada Soh Wooi Yik itu berkata: "Kalau nak cakap pasal kekuatan, memang tidak berapa kuat tetapi saya rasa, pasukan kita, jika berdepan mana-mana pasukan kuat, kami juga mampu bersaing sebaik mungkin.

"Walaupun pasukan lain seperti Indonesia, China dan Jepun memiliki pasukan yang amat kuat, jika mereka berjumpa Malaysia, mereka juga bukan mudah untuk menewaskan kita.

"Saya tahu kerana dalam beberapa kejohanan sebelum ini, kami layak ke suku akhir.

"Kami sudah mendapat pingat gangsa dalam Piala Sudirman tahun lalu, jadi tahun ini, kami berharap dapat sekurang-kurangnya satu pingat buat Malaysia .

"Ia sememangnya sasaran kami tetapi kami tidak akan terlalu memberikan tekanan buat diri sendiri

"Apapun, kami percaya kami mampu melakukannya," katanya.