Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berasakan sasaran ke separuh akhir buat skuad negara dalam Kejohanan Piala Sudirman bermula hujung minggu ini sebagai sesuatu yang realistik.

Bagaimanapun, Rexy mengakui mahu melihat barisan anak buahnya melepasi sasaran itu untuk layak ke final buat kali pertama dalam sejarah penganjuran kejohanan itu sejak 1989.

"Sudah pasti kita ada sasaran tetapi jika sekadar untuk mencapai sasaran, itu bukanlah cara dan sikap yang betul," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Shazwani.

"Bagi saya, setiap pemain perlu ke sana untuk bergelar juara.

"Mungkin akan ada yang kata kita perlu bersikap realistik kerana pasukan seperti China dan Jepun amat kuat tetapi selagi anda berjuang dengan jiwa yang berani dan penetapan minda anda benar-benar di sana, bagi saya tiada apa yang mustahil.

"Jadi, saya mahu melihat pasukan ini menuju ke sana dengan hanya satu misi, iaitu hidup mati.

"Apabila anda mencapai sasaran, ia bermakna anda sudah hampir untuk bergelar juara, jadi anda perlu meneruskannya sehingga ke penghujung," katanya.

Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang Australia di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, China hujung minggu ini sebelum bertemu India dan Taiwan bagi saingan Kumpulan C.