JEPUN 3 MALAYSIA 1

Perjalanan pasukan Malaysia di Vantaa, Finland, dalam Piala Sudirman terhenti di peringkat separuh akhir selepas tumbang 1-3 kepada Jepun, sebentar tadi.


Pasukan negara bermula tempang menghadapi lawan sama di peringkat kumpulan lalu itu apabila Takuro Hoki-Yuko Kobayashi menyekat hasrat Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk Malaysia mengutip mata pertama apabila menang 21-15, 21-14.

Ia menyulitkan perancangan awal apabila tiba giliran S. Kisona menggalas tugas sebagai perseorangan wanita negara.

Walaupun berusaha tetapi Akane Yamaguchi nyata terlalu ampuh untuk disaingi S Kisona dengan kemenangan 21-7, 21-5.

Kemudian, perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, merapatkan jurang 2-1 menerusi kemenangan straight set dengan membenam Kento Momota dalam 57 minit perjuangan.

Dia mendominasi set pertama 22-20 dan permainan semakin rancak dalam aksi set seterusnya.

Mereka saling bertukar mata malah masing-masing sempat terbaring di atas gelanggang ketika cuba menyambut pukulan lawan.

Bagaimanapun, permainan Zii Jia hari ini nyata lebih mengancam daripada lawannya untuk unggul 21-19.

Selepas itu, perjuangan negara diteruskan oleh beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, yang mencipta kejutan semalam.





Mereka berdepan Mayu Matsumoto-Misaki Matsutomo yang bergandingan buat kali kedua dalam karier itu.

Namun, elemen itu masih belum cukup untuk Pearly-Thinaah memerangkap lawan di sebalik kurang keserasian mereka untuk terpaksa akur tewas 19-21, 17-21.

"Saya harus menguatkan mental sebagai persiapan menghadapi pertarungan sukar hari ini terutama berdepan Kento Momota, lebih-lebih lagi tahap keyakinannya mula kembali.

"Saya sedar perlu kekalkan pukulan, baik menyerang mahupun bertahan.

"Saya perlu bersabar dan mempersiapkan mental untuk berdepan perlawanan sukar ini dan ia menjadi titik tolak dalam aksi hari ini.

"Sebagai ketua pasukan, saya perlu tingkatkan semangat juang rakan sepasukan.

"Dalam kejohanan seperti ini, saya juga tidak boleh tewas dua kali kepada Momota," kata Zii Jia selepas perlawanannya.

Perjalanan edisi ini secara tidak langsung mengulangi pencapaian pada 2009.