Prestij mewakili Malaysia dalam Piala Thomas kekal sebagai sesuatu yang keramat buat pemain negara.

Sentimen itu diabadikan pemain beregu lelaki, Teo Ee Yi, yang mengambil pendekatan drastik dalam memastikan dia menjadi sebahagian daripada skuad negara ke kejohanan itu di Bangkok, Thailand, bermula Ahad ini.

Ketika Sukan SEA lalu, Ee Yi dibelenggu isu kecergasan dan di sebalik statusnya ke Piala Thomas menjadi tanda tanya sejak beberapa bulan lalu, pemain berbakat itu sedar dia perlu melakukan sesuatu.

Katanya, pelaksanaan diet ekstrem menyaksikan dia kini sudah hilang 10 kilogram daripada berat badan asalnya.

"Sebelum ini, saya tidak tahu terpillih ataupun tidak untuk Piala Thomas. Saya hanya membuat persediaan rapi bagi peningkatan diri sendiri.

"Selepas berat badan berkurangan, saya rasa lebih ringan untuk beraksi. Jurulatih banyak membantu saya selama ini, termasuk di gimnasium," kata Ee Yi

Cabaran buat Ee Yi dalam mencari sentuhan sebenar di Bangkok, Thailand nanti tidak terbatas pada diri sendiri.

Gandingan asalnya, Ong Yew Sin, tidak terpilih dan bermakna dia perlu bersedia untuk diturunkan dengan pemain lain seperti Mohamad Arif Abdul Latif.

"Saya banyak berbincang dengan jurulatih dan dia juga percaya kepada saya. Saya akan melakukan yang terbaik, tidak kira digandingkan dengan sesiapa, saya akan cuba melakukannya," katanya lagi.