Satu penyeksaan yang jauh berbeza daripada apa jua kecederaan fizikal yang pernah dialami, itulah yang disifatkan pemain beregu profesional negara, Goh Liu Ying, apabila berbicara membabitkan soal kehidupan peribadinya yang kini menjadi tumpuan umum.

Dunia Liu Ying jadi gelap seketika pada waktu kehidupan peribadinya menjadi bualan di media sosial.

Perkhabaran angin yang membawa cerita kurang enak apabila ada unsur yang melibatkan Liu Ying dalam kisah cinta tiga segi.



Pemain profesional negara itu menafikan dakwaan dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangga seseorang seperti yang tersebar di internet baru-baru ini -- pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, menegaskan semua berita yang tersebar itu adalah tidak berasas.

"Setakat ini, perkara ini telah selesai dan saya kini boleh fokus kepada badminton sepenuhnya. Saya sangat lega," kata Liu Ying.

"Apabila kehidupan peribadi saya menjadi bualan, ia akan membimbangkan saya, tetapi ia sudah selesai dan semua boleh memberikan tumpuan kepada aksi saya di atas gelanggang.

"Jika anda mengetahui anda tidak bersalah, anda tidak perlu takut. Masalah ini tidak boleh dibandingkan dengan masalah kecederaan tetapi ia memiliki cara yang berbeza untuk diselesaikan.

"Mentaliti saya kini bertumpu kepada badminton dan saya mahu berusaha untuk kembali ke gelanggang sekaligus melayakkan diri ke Sukan Olimpik," tambahnya lagi.

"Saya berterima kasih kepada keluarga kerana memberikan sokongan kepada saya untuk menangani situasi yang sukar ini. Ia merupakan satu pengalaman yang berbeza bagi saya."

Liu Ying dan gandingannya, Chan Peng Soon kini giat mempertingkatkan mutu permainan bagi menghadapi saingan kelayakan Olimpik Tokyo yang bakal berlangsung tidak lama lagi.