Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mengakui prestasi anak buahnya, Ng Tze Yong, makin memberansangkan selain mempunyai peningkatan berbanding dalam Piala Thomas, Mei lalu.

Perseorangan muda berusia 22 tahun itu kembali ke gelanggang menerusi Terbuka Malaysia 2022 selepas hampir sebulan menjalani latihan intensif.

Choong Hann melihat peningkatan pemain ranking ke-48 dunia itu apabila dia mampu memberi tekanan kepada pemain di ranking lebih tinggi ketika berdepan pemain nombor 27 dunia dari China, Lu Ghuang Zu, di sebalik tewas dalam pusingan pertama.

"Selepas lima minggu menjalani latihan insentif, daripada pandangan kejurulatihan mendapati dia menunjukkan peningkatan.

"Bagaimanapun, sasaran peningkatan kami bersifat jangka masa panjang. Daripada segi sains sukan, otot-ototnya yang perlu diperkuatkan itu hanya dapat dicapai melalui programnya yang dihasilkan oleh bahagian sokongan kami.

"Kami nampak kesungguhannya untuk berjaya. Terbuka Malaysia boleh dijadikan pengalaman, membuka matanya untuk diambil sebagai motivasi," katanya.





Dalam pada itu, Choong Hann tidak panik meskipun sektor perseorangan lelaki negara mempunyai jurang yang tinggi daripada pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia, sambil mengakui proses pembikinan memerlukan masa bagi membentuk pemain berkualiti untuk tempoh panjang.

"TzeYong bukannya gemuruh sampai tidak boleh main tapi dia sudah pamerkan apa yang dia ada sampai kejang beraksi.

"Ini melibatkan isu teknikal bukannya membabitkan psikologi.

"Untuk menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Komanwel, saya rasa persiapannya terlalu singkat.

"Daripada pengalaman kami membentuk pemain, ia memerlukan masa selama setahun dua untuk membina otot.

"Untuk peningkatan tahap fizikal Tze Yong, untuk pelan jangka masa pendek dia memerlukan 6-9 bulan tapi untuk jangka panjang pula, mungkin 2-3 tahun lagi.

"Peningkatan pengalaman, taktikal dan skil pula berjalan seperti biasa," katanya.