Pembatalan saat akhir kejohanan badminton Terbuka Korea Selatan dan Macau oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) susulan keadaan COVID-19 yang masih mengganas ternyata mencetus rasa kecewa buat kebanyakan pemain.

Antaranya beregu campuran profesional negara, Shevon Lai, yang perlu mencari alternatif untuk mengukuhkan mata rankingnya demi melayakkan ke Kejohanan Dunia, hujung tahun ini.

Ia sepatutnya menjadi kejohanan pertama mereka dalam tempoh lima bulan apabila kali terakhir mereka bertarung adalah ketika kempen mengecewakan Seluruh England.

Apatah lagi diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, mereka mahu mara jauh memandangkan penyertaan kali ini kurang mendapat sambutan pemain berikutan Sukan Olimpik Tokyo baru berakhir.

Untuk layak ke Kejohanan Dunia di Sepanyol Disember depan, Shevon- Goh Soon Huat perlu berada dalam kelompok 24 terbaik dunia untuk ke saingan itu dengan satu negara boleh menghantar tiga wakil sahaja.

"Kami agak kecewa kalau ia dibatalkan sebab sudah bersedia selama beberapa bulan untuk menghadapinya, malah sukar mendapatkan gelanggang.

"Sebelum ini saya amat gusar dengan ketiadaan latihan di gelanggang tetapi kami telah buat apa yang mampu untuk ke Korea Selatan," katanya.




Dalam pada itu, Shevon turut bersedia andai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia menggunakan khidmat pemain luar bagi kempen Piala Sudirman yang berlangsung 26 September depan di Vaanta, Finland.

Ia bukanlah perkara asing kerana sebelum ini BAM pernah mengetengahkan khidmat pemain profesional bagi kempen Piala Thomas.

"Kami belum dimaklumkan apa-apa lagi tapi kami sedia sahutnya kalau dipanggil kerana ia merupakan peluang berkhidmat untuk negara, masih mewakili Malaysia."