Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham bagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, mungkin jawapan kepada pencarian selama 13 tahun Hendrawan di Malaysia.

Pakar dari Indonesia itu berhajat melahirkan juara dunia selepas usahanya membentuk Lee Zii Jia terbantut awal tahun ini.

"Kalau dengan Lee Zii Jia, kami mungkin letakkan sasaran emas tapi Tze Yong pula, mungkin sasarannya adalah pingat tanpa mengira warna.

"Kami tidak pernah menaruh harapan Tze Yong akan terpilih tapi siapa sangka dia mampu beraksi dengan baik," katanya ketika berkongsi rasa dengan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.



Bagaimanapun, Hendrawan tidak menolak akan angkat kaki hujung tahun ini andai keserasian di antaranya dan Tze Yong tidak mampu pergi jauh.

Jurulatih berusia 50 tahun itu ibarat mendapat talian hayat bersama Persekutuan Badminton Malaysia (BAM) selepas melalui pelbagai kritikan.

Begitupun, Tze Yong perlu memenuhi beberapa syarat jika benar mahu menjadi juara dunia.

"Di antara pemain dan jurulatih perlu ada kepercayaan," tambahnya.

Justeru, Hendrawan sudah tidak mampu melawan takdir andai usahanya tergendala lagi tetapi potensi yang dipamerkan Tze Yong dalam Sukan Komanwel seolah-olah petanda butang panik masih belum perlu ditekan.

"Harus siap (sedia) dengan apa pun risikonya. Sampai satu saat pemain meninggalkan kita, kita juga perlu bersiap dan apabila pemain sudah besar dan lupakan kita, kita harus siap.

"Itu satu proses. Itulah nasib jurulatih," katanya.





Wira-wira badminton negara yang beraksi cemerlang Sukan Komanwel Birmingham menerima habuan daripada BAM, hari ini.

Pada masa yang sama, badan induk itu turut melahirkan kembimbangan dengan prestasi beregu lelaki negara termasuk beberapa jabatan seperti perseorangan wanita.

Lantas, Majlis BAM bersetuju menyokong 'Program Fast-Track' bagi tujuan menyerapkan pemain muda yang berpotensi besar kepada skuad kebangsaan dengan lebih cepat apabila tidak perlu melalui proses pelbagai peringkat umur.

"Presiden BAM, Tan Sri (Norza Zakaria) telah mengarahkan untuk kenal pasti kelemahan bagi memastikan pemain negara bangkit segera.

"Bukan sahaja beregu lelaki, Pengarah Berprestasi Tinggi BAM, Dr. Tim Jones, misalnya telah diberikan arahan khususnya untuk kenal masalah itu dan mahu ia selesaikannya," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Ketika ini program itu menyaksikan pemain beregu remaja, Fazriq Razif, 17, menjadi tonggak remaja pertama yang diserapkan ke skuad kebangsaan.

Menurutnya lagi: "Untuk bagi memastikan kita sentiasa relevan dan merupakan kuasa dunia dalam arena badminton dunia, kami perlu buat sesuatu yang berbeza.

"Kalau pemain yang mempunyai berbakat luar biasa ini hanya berlatih dengan pemain sebayanya, ia boleh membantutkan perkembangannya."