Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia, Rexy Mainaky, menegaskan bahawa pintu sentiasa terbuka buat pemain profesional negara, tetapi masih belum ada pemain atau jurulatih luar yang menghubunginya untuk sesi latihan.

Semalam, badan induk itu sedia membuka ruang buat pemain dari di luar untuk menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, itu bagi menikmati manfaat dua hala.

"Sepatutnya (soalan ini) ditanya kepada pemain, bukan kami.

"Kami sentiasa bersikap terbuka," katanya di Nadi Arena.

Bekas juara Sukan Olimpik dan dunia itu juga beranggapan dengan adanya sesi latihan bersama pemain profesional ia akan memberikan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.




"Prestasi beregu profesional negara seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi makin baik, malah kedudukan ranking mereka tidak jauh berbeza dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

"Jadi ia (menawarkan) kelebihan dalam segenap sudut. Sebenarnya ia merangkumi beregu negara yang lain, barisan kejurulatihan sedia berbincang," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan BAM semalam, mana-mana pemain perseorangan yang dalam kelompok 50 terbaik dunia selain beregu 30 terbaik dunia dialu-alukan untuk menyertai sesi latihan pada setiap Rabu dan Jumaat.

Pertimbangan juga akan diberi kepada lima pemain atau gandingan terbaik tempatan untuk mengikuti sesi latihan itu.