Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek, bersedia untuk mengetepikan sentimen keluarga biarpun anak saudaranya, Fazriq Razif, memburu penampilan pertama dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia, yang berlangsung di Auckland, New Zealand Januari depan.

Ia ketegasan Misbun supaya tidak ada sentimen pilih kasih biarpun Fazriq merupakan anak kepada bekas jaguh beregu lelaki negara, Razif Sidek, juga adik kepada Misbun.

Tiada keistimewaan, sebaliknya Fazriq perlu berusaha keras dan menjalani pemilihan seperti pemain lain jika idam penampilan sulungnya dalam Kejohanan Remaja Dunia.



Sebagai pemain, Fazriq berkebolehan beraksi dalam dua acara, perseorangan dan beregu lelaki.

"Dalam memilih pemain dalam pasukan, pilih kasih tidak boleh wujud. Perkara paling penting adalah kemampuan mereka perlu dipamerkan dengan sebaik mungkin dan kami memerlukan barisan yang terbaik untuk mewakili Malaysia," kata Misbun ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Ini merupakan kali pertama untuk saya meletakkan diri ke Kejohanan Remaja Dunia. Saya berharap untuk layak ke kejohanan tersebut namun saya tidak akan meletakkan sasaran yang terlalu tinggi namun akan cuba memberikan yang terbaik," kata Fazriq.

Kejohanan Remaja Dunia di Auckland, New Zealand Januari depan jadi misi cukup penting buat Misbun memandangkan Malaysia perlu menamatkan kemarau sembilan tahun memenangi acara berpasukan campuran yang kali terakhir dimenangi pada 2011.

"Ia merupakan cita-cita BAM memastikan kejayaan dalam acara berpasukan. Kami perlu membuat perancangan rapi dengan memastikan barisan pemain terbaik untuk memberikan cabaran dalam acara tersebut," kata Misbun lagi.

Sementara itu, barisan pemain remaja negara mula melapor diri Ahad ini, teruja dapat memulakan kembali latihan biarpun lewat tiga minggu berbanding pasukan senior.

Seramai 43 pemain serta enam jurulatih kembali ke Akademi Badminton Malaysia (BAM), dan mereka perlu menjalani rutin sama seperti pemain senior tempohari, taklimat prosedur latihan baru dan ujian calitan dan dijangka memulakan latihan Selasa ini jika hasil ujian menunjukkan negatif.

"Kami perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) telah ditetapkan dan mengikut program yang telah ditetapkan jurulatih," kata pemain beregu nombor satu remaja dunia, Wan Arif Wan Junaidi.

"Teruja untuk kembali menjalani latihan dan tidak sabar untuk ke gelanggang," kata pemain beregu nombor tujuh dunia, Mohd Haikal Nazri.