Michelle Chai pada lewat petang tadi membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Peletakan jawatan itu susulan kekalahan memalukan skuad wanita negara di tangan Filipina dalam acara berpasuka Sukan SEA Kemboja 2023 semalam.

ABM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan Michelle itu bagi mengambil tanggungjawab susulan keputusan buruk yang dipamerkan barisan pemain negara baru-baru ini.

Kenyataan tersebut memaklumkan Pengarah Prestasi Tinggi ABM, Dr Tim Jones, turut dilepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu, Michelle dalam satu sidang media pada sebelah pagi memberi bayangan bersedia untuk melepaskan jawatannya.

Sesuatu yang tidak disangka terjadi dalam sejarah badminton apabila pasukan wanita negara dikejutkan Filipina setelah tewas 0-3 dalam pusingan awal acara badminton berpasukan.

Michelle juga dapat rasakan kekecewaan yang dialami pemain dan turut memahami kemarahan yang dirasai peminat badminton negara.

“Bukan tidak menghormati Filipina tetapi kekalahan semalam (Isnin) tidak boleh diterima.

“Kami sedar bahawa pemain adalah muda tetapi ia bukan alasan kerana sesiapa yang dihantar untuk menyarung jersi Malaysia, mereka perlu beraksi dengan baik.

“Ketika mengkaji kekalahan kepada Filipina, ia menjadi masa yang terbaik buat kami termasuk saya untuk melihat diri sendiri dan berlaku jujur. Adakah kami masih mampu untuk memberikan nilai tambah kepada pemain.

“Jika sudah tidak dapat memberikan impak kepada pemain, kami perlu berundur dan bawa individu lain yang boleh membawa idea baru,” katanya dalam sidang media itu, yang turut dihadiri barisan kejurulatihan ABM.

Kredit: Sinar Hrian