'Dia adalah wanita paling penting dalam kehidupan saya', begitulah ertinya Chow Mei Kuan kepada Lee Meng Yean yang membentuk beregu wanita nombor satu Malaysia.

Meng Yean berkongsi bersama wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, yang tidak pernah menyangka mereka akan layak ke Olimpik sejak digandingkan pada usia remaja.

"Kami telah digandingkan lebih daripada 10 tahun, ketika muda kami tidak meletakkan impian untuk melangkah ke Olimpik namun selepas memperoleh lebih banyak pengalaman, ia menjadi satu sasaran kami.

"Ini merupakan satu langkah yang terbesar dalam karier saya sebagai pemain badminton, saya berharap dapat memperoleh pingat di sana nanti," kata Meng Yean.

Mungkin ramai sudah lupa atau tidak tahu, Mei Kuan dan Meng Yean pada satu ketika pernah dipisahkan.

Ini pada ketika Rosman Razak buat kali pertama memegang portfolio sebagai ketua jurulatih beregu wanita negara sekitar tahun 2014/2015.

"Sebelum ini, jurulatih Rosman yang mengambil keputusan untuk memisahkan kami sebelum menggandingkan kami semula. Saya sangat bersyukur dengan setiap keputusan yang diambil dan kami kini sudah berjaya mara ke Sukan Olimpik," katanya lagi.

"Kami telah menghasilkan permainan dengan cemerlang layak ke Olimpik ini adalah pencapaian yang sangat manis. Bergandingan bersama Mei Kuan merupakan adalah sangat penting, saya berasakan dia merupakan salah seorang individu penting dalam hidup saya."

Dalam sejarah beregu wanita Malaysia dalam Olimpik, hanya ada dua gandingan sebelum Meng Yean-Mei Kuan yang pernah tampil dalam temasya itu.

Chin Ee Hui-Wong Pei Tty memegang rekod penampilan paling banyak menerusi dua penyertaan, di Athens 2004 dan Beijing 2008.

Sementara Vivian Hoo dan Woon Khe Wei pula memiliki rekod terbaik apabila melangkah ke suku akhir di Rio 2016.

Dan ini nasihat daripada Khe Wei buat Meng Yean dan Mei Kuan yang menginginkan untuk memperbaiki pencapaian dia dan Vivian.

"Mereka ada bertanyakan mengenai perasaan menghadapi saingan Olimpik jadi saya berkongsikan pengalaman ketika beraksi di Rio," kata Khe Wei.

"Saya berasakan mereka perlu mengingatkan persembahan dan prestasi cemerlang ketika dalam Terbuka Thailand sebelum ini. Saya sentiasa mengingatkan mereka bahawa pilihan utama sentiasa akan berdepan permainan yang hambar dan mereka perlu dilihat sebagai 'kuda hitam' di Tokyo nanti."