Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, mengakui kekuatan mental dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Malaysia amat penting untuk mengubati kekecewaan minggu lalu.

Gandingan ranking ke-12 dunia itu enggan mengulangi kesilapan sama menjelang pertemuan semula dengan Fajar Alfian-Rian Adrianto dari Indonesia dalam pusingan pembukaan di Axiata Arena, Bukit Jalil, esok.

Sze Fei-Nur Izzuddin menamatkan kempen Terbuka Malaysia kali ini di peringkat separuh akhir selepas tewas kepada pasangan indonesia itu dengan keputusan 14-21, 12-21.

Berselang dua hari daripada pertemuan terakhir, wakil negara bakal berdepan cabaran daripada naib juara Terbuka Malaysia itu dan mereka telah memanfaatkan ruang terluang dalam usaha tampil dengan prestasi lebih baik kali ini.

"Pihak lawan sangat tekal. Sebaik mereka mendapat rentak, mereka akan teruskan.

"Apa yang telah terjadi kami perlu lupakan, kami ambilnya sebagai pelajaran," kata Nur Izzudin.

Menurut Sze Fei pula: "Kami terlalu banyak fikir hingga sebelum turun bermain pun masih mengenangkan apakah yang terjadi kalau kami tersingkir.

"Saya harap dapat buat yang lebih baik dalam soal itu," katanya.





Sementara itu, antara barisan pemain yang menjalani sesi uji gelanggang menjelang Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini ialah beregu campuran negara, Chan Peng Soon, menjelaskan kondisi gelanggang agak berbeza berbanding minggu lalu.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga ingin turun dengan penampilan lebih agresif demi meraih keputusan positif untuk dijadikan pemangkin menghadapi Sukan Komanwel yang akan bermula dalam tempoh kurang dari sebulan lagi.

"Tiupan angin di sini macam dari arah bertentangan pula, tidak tahu adakah ia disebabkan oleh penghawa dingin atau masalah saya sendiri.

"Tapi keadaan angin di gelanggang adalah lebih baik berbanding minggu lalu.

"Permainan kami terlalu tenang, tidak cukup agresif. Kami harus lebih agresif berikutan keadaan angin di sini yang lebih kuat jadi kami tidak boleh tunggu bulu tangkis sahaja," katanya Peng Soon pula.