Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, meneruskan sensasi dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia apabila menumbangkan pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, dalam perlawanan suku akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pasangan negara itu tewas tiga daripada lima pertemuan terakhir dengan bekas beregu wanita nombor satu dunia itu dan pada awalnya kelihatan sukar memberikan saingan dalam set pertama sebelum tewas 13-21.

Pearly dan Thinaah kemudian terus bergelut untuk menyaingi lawan itu, di mana mereka tidak pernah mendahului hampir ke penghujung aksi, namun sebaik mengikat kedudukan 16-16, gandingan negara itu mula mendapatkan keyakinan sebelum mencatatkan kemenangan 21-19 untuk mengheret pertarungan ke set penentuan.

Kemenangan itu jelas meningkatkan semangat mereka untuk melalui set ketiga dan selepas bertarung selama sejam 51 minit, Pearly dan Thinaah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan kemenangan 21-16.

Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara beregu pilihan kelima dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jong, dan pilihan kedua dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Si Fadia Silva Ramadhanti, bagi penentuan ke final esok.