Dari Denmark ke Cheras.

Bintang badminton dunia, Viktor Axelsen, hadir lebih awal ke tanah air bagi menjalani latihan tertutup bersama barisan pemain profesional negara sebagai persiapan mempertahankan kejuaraan Masters Malaysia yang bermula Sabtu ini.


Axelsen dilaporkan sudah berada di tanah air sejak kelmarin selepas selesai menghadapi Liga Perdana Badminton di India.

Dia tidak pulang ke Denmark untuk berehat, sebaliknya memilih untuk bersama pemain profesional negara, Liew Daren, yang juga rakan sepasukannya di kelab Ahmedabad Smash Masters sewaktu di India.

Daren yang bernaung di bawah Kelab Badminton Sport Affairs, Cheras, mendapat persetujuan daripada jurulatihnya, Rashid Sidek, untuk Axelsen menyertai persiapan mereka menjelang Masters Malaysia.

"Saya mahu memanfaatkan sepenuhnya kesempatan berlatih bersama pemain-pemain di sini.

"Saya baru sahaja menamatkan saingan di India untuk beberapa minggu lalu.

"Saya memilih untuk terus ke Malaysia bagi membiasakan diri dengan perbezaan waktu di sini.

"Daren seorang rakan yang amat baik.

"Dia menjemput saya untuk menyertai sesi latihannya di sini.

"Segalanya berjalan lancar dan saya gembira untuk berada di sini," kata Axelsen.

Sesi latihan tertutup itu turut disertai dua lagi pemain profesional negara, Chong Yee Han dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

"Dia bertanyakan kepada saya untuk terus ke Malaysia memandangkan amat sukar untuknya membiasakan diri jika kembali ke Denmark terlebih dahulu.

"Selepas mendapat persetujuan daripada Rashid, dia menyertai saya pulang ke Malaysia dan kehadirannya pasti akan memberikan kebaikan buat kami.

"Ia memberikan kelainan buat saya untuk memperoleh peluang berlatih bersama pemain sehebatnya," kata Daren.