Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, mengakui ia satu tugas sukar untuk berentap dengan bekas rakan seperjuangan, Goh Liu Ying, apabila dipertemukan di pusingan pertama Masters Indonesia bulan depan.

Hasil undian pusingan pertama bagi acara beregu campuran menemukan Peng Soon akan turun berentap dengan bekas pasangannya, Liu Ying.

Ini merupakan pertemuan pertama sesama mereka sejak berpisah Disember tahun lalu.

Ironinya, Peng Soon bergandingan dengan Cheah Yee See, di mana gandingan itu pernah bersama dan menghadiahkan Malaysia gangsa ketika Sukan SEA 2017.

Manakala Liu Ying bakal buat penampilan sulung dengan perseorangan lelaki, Soong Joo Ven di kejohanan itu.