Beregu capuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia selepas menewaskan pasangan Jerman, Jones Ralfy Jensen-Linda Efler, dalam pusingan kedua hari ini.

Hanya 40 minit diperlukan pasangan negara itu untuk meraih kemenangan 21-14-21-19 pada hari ulang tahun kelahiran Yee-See yang ke-25.

Bagaimanapun, cabaran berat menanti mereka dalam perlawanan berikutnya apabila dijadualkan bertemu pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai -- yang menewaskan satu lagi pasangan negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 21-17, 16-21, 21-17 dalam satu lagi perlawanan -- bagi penentuan ke separuh akhir esok.



Sementara itu, pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, tersingkir dalam pusingan kedua selepas tewas kepada gandingan pilihan kelapan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 21-15, 7-21, 20-22 dalam masa 54 minit.

Bagaimanapun, ada berita gembira diterbitkan beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Yew Sin dan Ee Yi turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Reza Pahlevi Isfahani, 13-21, 21-14, 21-17 untuk mencongak perhitungan, sama ada dengan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, atau satu lagi wakil Indonesia, Shohibul Fikri-Bagas Maulana.



*Kredit foto: Badminton Photo