Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, seolah-olah beraksi 'tanpa jiwa' ketika berdepan gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Yuan Yi dalam aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 pada Khamis.

Malah, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky nyata kecewa dengan prestasi anak-anak buahnya itu yang menyaksikan mereka tewas 10-21, 23-21.

“Seharusnya apabila beraksi di tempat sendiri dengan situasi seperti ini (sorakan padu penyokong Malaysia), mereka ada keyakinan (meraih kemenangan).

“(Tetapi) tengok mereka seperti tidak ada jiwa. Ia selalu berlaku pada mereka yang seperti menunggu sahaja pihak lawan membuat kesalahan.

“Kenapa tidak ada jiwa? Itu yang berlaku ke atas Aaron dan Wooi Yik malam ini, ia jadi tanggungjawab saya untuk menilai situasi itu,” kata Rexy.

Bagaimanapun, Rexy berkata, beliau gembira dengan kebangkitan yang ditunjukkan Aaron-Wooi Yik dalam aksi set kedua selepas tewas mudah di set pertama.

“Cuma mereka tidak dapat mengekalkan momentum di set kedua sehingga pemain lawan mengejar kedudukan 13-13, itu tak boleh diterima.

“Pemain lawan apabila mendahului, mereka tidak beri peluang. Kita pula apabila mendahului, tetapi bagi peluang (pemain lawan) mengejar.

“Sepatutnya apabila kita sudah mendahului, Aaron-Wooi Yik terus menekan pemain lawan. Sepatutnya mereka sedar dengan situasi itu,” tegasnya.

Kekalahan Aaron-Wooi Yik kepada Yu Chen-Yuan Yi itu menyaksikan mereka gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian pada Terbuka Malaysia tahun lalu apabila mara ke peringkat separuh akhir.

Kredit: Sinar Harian