Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim, berpandangan jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, memerlukan seorang jurulatih profesional untuk keluar daripada badi tersingkir awal dalam kejohanan musim ini.

Zii Jia mengalami permulaan musim yang kurang baik tahun ini apabila dia terkandas awal dalam tiga kejohanan pertama yang disertainya.

Pemain berusia 24 tahun itu terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia sebelum menamatkan Kejohanan Terbuka India dalam pusingan kedua dan yang terbaru, dia turut terkandas dalam pusingan kedua Masters Indonesia kelmarin.

Penurunan prestasi itu menyaksikan Zii Jia turut berdepan penurunan ranking dunia sebanyak dua anak tangga dari tangga kedua ke tangga keempat.

Roslin, yang mengikuti rapat perkembangan pemain profesional itu, berkata kepada Astro Arena: "Rata-rata sedia maklum bahawa dia memerlukan jurulatih untuk persediaannya.

"Jurulatih ada dua maksud yang berbeza, yang pertama adalah untuk program latihannya dan yang kedua adalah jurulatih yang membimbingnya sewaktu kejohanan. Ia dua keadaan yang berbeza.

"Saya melihat permainannya dan sememangnya ada banyak penurunan daripada segi fokus dan tahap kecergasannya. Ia mengenai persiapannya.

"Daripada itu kita sudah mula nampak impaknya selepas ketiadaan Indra Wijaya (bekas jurulatih Zii Jia).

"Jadi, isu sebenarnya adalah dia memang perlukan jurulatih.

"Sudah pasti dia lebih mengetahui mengenai situasi dirinya tetapi daripada pandangan saya sebagai bekas pemain, sudah semestinya dia mahu bermain untuk tempoh yang panjang.

"Dia harus juga memikirkan mengenai penaja kerana jika tiada keputusan yang baik, bagaimana pula dengan tajaannya.

"Dia perlu buang perasaan bahawa dia mampu menangani isu ini tanpa jurulatih," katanya.