Ketika jaguh badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia selesa tanpa bimbingan jurulatih, namun bagi mengharungi pengembaraan yang masih panjang dalam sukan itu, keputusan tersebut wajar difikirkan semula.

Ramai pemerhati dan peminat melihat Zii Jia yang tewas seawal pusingan pertama kepada pemain meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka pada Terbuka Malaysia 2023 sebagai 'hilang arah'.

Justeru penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menasihati pemain itu agar menimbang semula keputusan itu demi masa depannya.

Beliau berkata, jika prestasi terus merudum, ia bukan sahaja memberi tekanan kepadanya, malah boleh mengundang masalah lain termasuk penaja mungkin menarik diri.

“Saya tidak pasti adakah ia berpunca kerana masalah kewangan atau isu lain, tetapi kita sudah nampak implikasinya. Nasihat saya, Zii Jia perlu bertindak segera sebelum terlambat kerana kariernya kini dalam bahaya.

“Zii Jia kena ingat, jika prestasinya terus merudum dan tidak mencapai keputusan diharapkan, ia bukan sahaja akan memberi tekanan ke atas dirinya malah penaja juga mungkin akan menarik diri.

“Jika ini berlaku, Zii Jia akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kariernya. Ia juga boleh menjejaskan peluang Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2024 kerana setakat ini dia adalah sandaran terbaik sukan badminton,” katanya.

kredit: Sinar Harian