Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, menafikan spekulasi mengaitkan bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Sydney 2000, Tony Gunawan, dengan badan induk itu.

Ini kerana BAM masih percaya dengan program kejurulatihan yang disediakan pengarah teknikal bahagian beregu, Rexy Mainaky, sambil berkata, jika ada pemilihan jurulatih baru, ia hanya akan berlaku pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Kita jangan berspekulasi kerana kami sememangnya memerlukan satu proses untuk mencari jurulatih terbaik," katanya kepada dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Buat masa ini, seperti yang saya katakan tadi, kami masih yakin dengan program yang disediakan Rexy bagi sektor beregu campuran."

Tony Gunawan berpasangan dengan Chandra Wijaya ketika meraih pingat emas Sukan Olimpik 2000 untuk Indonesia.

Dia memiliki reputasi hebat selaku pemain dengan muncul juara dunia sebanyak dua kali bergandingan dengan pasangan berbeza.

Gelaran dunia pertamanya adalah ketika berpasangan dengan Halim Hariyanto di Sevilla, Sepanyol pada 2001.

Dia kemudian kembali bergelar juara dunia ketika mewakili Amerika Syarikat bersama Howard Bach pada 2005.