Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, enggan memandang mudah cabaran dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan minggu depan meskipun tanpa kelibat penyandang juara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang terpaksa menarik diri.

Iskandar terpaksa melupakan kejohanan di Ipoh itu bagi menyertai Kejohanan Masters Sepanyol untuk mengumpul mata ranking dunia.

Ia terpaksa dilakukan bagi mencerahkan peluangnya untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Meskipun tanpa kelibat Iskandar dalam edisi kali ini, Zii Jia tetap berhati-hati untuk menghadapi kejohanan itu biarpun ramai beranggapan dia mampu muncul juara berdasarkan kedudukan ranking dan prestasi semasa.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, meletakkan sasaran khusus buat Zii Jia untuk meraih gelaran itu bagi mengesahkan dirinya sebagai pemain nombor satu negara.

"Saya berasakan ia bukan cabaran yang mudah memandangkan saya akan berdepan dengan rakan sepasukan yang sudah tahu corak permainan saya.

"Saya berharap semua peserta akan memberikan aksi terbaik mereka dalam kejohanan itu," katanya.

Dalam pada itu, impian Leong Jun Hao untuk beraksi dalam kejohanan itu tidak kesampaian selepas disahkan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pinggul.

Pemain berusia 20 tahun itu mendapat kecederaan berkenaan ketika beraksi dalam Terbuka Taiwan, Oktober lalu.

"Perasaan geram itu pasti ada memandangkan sepanjang dua bulan ini, saya tidak dapat beraksi dan hanya dapat menyaksikan mereka dari luar gelanggang.

"Saya berharap kecederaan ini akan pulih secepat mungkin," katanya.