Undian Kejohanan Badminton Dunia 2022 berlangsung hari ini menyaksikan Liew Daren diberi tugas berat berdepan wakil Denmark, Viktor Axelsen.

Pemenang pingat perak individu lelaki Sukan Komanwel, Ng Tze Yong pula akan berdepan wakil Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo di pusingan pertama.

Sementara Lee Zii Jia pula akan buat penampilan semula selepas membuat keputusan untuk melepaskan dua kejohanan demi persiapan di Kejohanan Dunia kali ini.

Beregu lelaki, Goh Tze Fei-Nur Izzudin Rumsani mungkin berpeluang bertemu Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pusingan yang ketiga manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan berentap di pusingan kedua dengan samada wakil Perancis atau Singapura.

Untuk saingan beregu wanita pula, sekiranya Low Yeen Yuan-Valeree Siow mengatasi pasangan India, mereka bakal bertemu pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Pearly Tan-M. Thinaah.

Di pusingan kedua, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan bertemu sama ada pasangan Mesir atau Israel dan Goh Soon Huat-Shevon Lai bakal berentap dengan sama ada wakil England atau India.