Juara dunia 2021, Loh Kean Yew, tidak gentar dengan kenyataan perseorangan profesional nombor satu negara, Lee Zii Jia, yang menyatakan bahawa ingin menjadi juara dunia 2022.

Kean Yew menjelaskan bahawa ia impian setiap pemain untuk menjadi juara dunia bagaimanapun dia bersedia untuk mempertahankan gelarannya.

“Saya pasti beliau (Zii Jia) menyasarkan emas (Kejohanan Dunia), orang lain juga menyasarkan emas atau mendapat keputusan terbaik. Saya akan melakukan persiapan sendiri dan pergi ke sana cuba yang terbaik,” kata Kean Yew.

Itu reaksi Kean Yew mengenai kenyataan Zii Jia menarik diri daripada Sukan Komanwel sebagai persiapan untuk Kejohanan Dunia 2022.

Pada edisi yang lalu walaupun Kean Yew bukan pemain pilihan, dia berjaya melakar kejutan dan mara ke aksi final dan menjadi juara.

Bagi saingan Terbuka Malaysia, Kean Yew berkongsi bahawa dia telah menerima tempoh rehat yang cukup dan sedia untuk menggegar Stadium Axiata, Bukit Jalil.

“Saya rasa ia agak berangin di sini, tetapi semua orang akan bermain di gelanggang yang sama, jadi akan cuba membiasakannya dan cuba yang terbaik untuk bermain. Saya berehat kira-kira seminggu selepas Terbuka Indonesia, agak bersedia dan mudah-mudahan dapat beraksi,” katanya.