Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia mahu menjadikan Tokyo Metropolitan Gymnasium sebagai venue yang menamatkan badi separuh akhir di Kejohanan Badminton Dunia 2022.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 itu berdepan laluan mudah di pusingan pertama selepas meraih 'bye' namun berkemungkinan bertemu rakan senegara, Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan ketiga.

Kurang dari tempoh dua minggu sebelum berangkat ke Tokyo, Aaron-Soh Wooi Yik mahu fokus memperbaiki kelemahan selain sasaran mereka untuk layak ke final Kejohanan Dunia musim ini selepas tersingkir di pusingan ketiga tahun lalu.

Skuad badminton negara selamat tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) daripada Birmingham dengan membawa pulang kejayaan dua pingat emas, satu perak, dan dua gangsa di Sukan Komanwel 2022.

"Kami mahu melepasi separuh akhir. Kami berharap halangan itu mampu dilepasi kerana terlalu banyak terkandas di peringkat itu," kata Aaron.

"Jika ia mampu dilepasi, saya percaya kami mampu mencapai lebih banyak sasaran pada masa akan datang."