Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mempamerkan aksi terpuji untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia dengan menumbangkan juara Sukan Olimpik dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, dalam aksi suku akhir di Ningbo, China sebentar tadi.

Kejayaan itu turut menyaksikan Sze Fei dan Nur Izzuddin akan bertemu satu lagi beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam separuh akhir, sekali gus memastikan akan ada wakil negara dalam final edisi kali ini.

Turun dengan status bukan pilihan, gandingan negara itu mempamerkan aksi cemerlang sejak awal permainan, namun terlepas dua mata terakhir untuk membenarkan lawan memenangi set pertama 21-19.

Aksi dalam set kedua pula jelas menjadi milik Sze Fei dan Nur Izzuddin, di mana mereka pada satu ketika jauh mendahului 17-10 dan biarpun lawan cuba mengejar kedudukan menuju ke penghujung saingan, pasangan negara itu berhasil mengheret permainan ke set penentuan dengan kemenangan 21-19.

Bahang kian dirasai dalam set ketiga dengan kedua-dua beregu saling berkejaran mata tetapi selepas kedudukan terikat 18-18, Sze Fei dan Nur Izzuddin mengawal ketenangan mereka untuk menamatkan saingan selama 1 jam dan 9 minit itu juga dengan kemenangan 21-19.