Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menamatkan badi kekalahan kepada beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sejak 2019 untuk mara ke final Kejohanan Badminton Asia.

Selepas hanya sekali mencapai kemenangan dalam tujuh pertemuan sebelum ini, kali Sze Fei-Nur Izzuddin nyata lebih bersedia untuk mencipta sensasi menerusi kemenangan 21-14, 21-18 dalam pertemuan separuh di Ningbo, China, sebentar tadi.

Mereka berjaya membayangi reputasi juara dunia 2022 itu untuk menyusun laluan merebut gelaran apabila memungut empat mata berturut-turut awal set pertama.

Percaturan itu berhasil tetapi kali ini Aaron-Wooi Yik lebih bersedia untuk memberi tentangan sebaik set kedua bermula.

Begitupun, beberapa siri bertahan yang menarik secara tidak langsung memberi lebih tekanan terhadap lawan itu, khususnya Wooi Yik yang kerap diperangkap kesilapan sendiri.




Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang garang melancarkan serangan kemudian gagal mempertahankan berkelebihan dua mata untuk kedudukan terikat 15-15.

Faktor ketenangan juga memacu Sze Fei-Nur Izzuddin untuk mencapai mata akhir sebelum dinoktahkan oleh pukulan balas Aaron yang terkandas di jaring.

Kejayaan Sze Fei-Nur Izzuddin melangkah ke pentas akhir kejohanan benua itu juga mengulangi pencapaian Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada tahun lalu.

Mereka perlu menunggu keputusan pertembungan sesama tuan rumah yang akan merebut satu lagi slot ke babak penentuan juara.