Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik, mempamerkan aksi yang meyakinkan untuk ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia apabila menumbangkan gandingan dari China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, dalam aksi suku akhir di Ningbo, China, sebentar tadi.

Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, Aaron dan Wooi Yik mempamerkan aksi yang mengagumkan dalam set pertama, di mana selepas kedudukan terikat 8-8, mereka tidak lagi membenarkan lawan merapatkan kedudukan sebelum meraih kemenangan selesa 21-14.

Kecemerlangan itu diteruskan dalam set berikutnya dengan gandingan negara itu terus memberikan asakan meskipun pasangan dari China kerap kali menyamakan kedudukan sebelum menamatkan pertarungan dengan kemenangan 21-15.