Bekas naib juara Kejohanan Remaja Dunia, Leong Jun Hao, menyifatkan tahun 2019 sebagai tahun yang cukup mengujinya ketika kecederaan yang dialaminya sejak Oktober lalu terus menghalangnya untuk tampil di pentas kompetitif.

Kejohanan Terbuka Taiwan, Oktober lalu merupakan kejohanan terakhir yang disertai Jun Hao di bawah kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sejak itu, dia terpaksa menangani kecederaan pinggul kiri sebelum dikesan mengalami satu lagi kecederaan lain.

Kecederaan buku lali kiri yang melandanya sejak Februari lalu memaksa pemain itu menarik diri daripada perlawanan final Kejohanan Kebangsaan.

"Sepanjang tahun ini, saya tidak pernah menyertai sebarang kejohanan.

"Saya pernah hampir mencapai sasaran peribadi, namun akhirnya cedera.

"Saya berharap dapat kembali semula ke prestasi asal.

"Keadaan badan saya kini lebih baik dan kecederaan juga sudah pulih sepenuhnya," katanya.

Baginya, situasi itu menggagalkan usahanya untuk mencabar pemain senior lain dalam skuad kebangsaan seperti Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven.

Disebabkan itu, dia perlu menyegerakan proses untuk kembali ke prestasi sebenar bermula dengan Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh, bermula 18 Jun ini.

"Saya masih mencari prestasi terbaik dalam sesi latihan.

"Selepas mengalami kecederaan, ia pasti mendatangkan kesukaran untuk kembali ke prestasi asal, terutama daripada aspek fikiran.

"Saya berharap dapat mengekalkan fikiran positif," tambahnya.