Kehadiran bekas naib juara remaja dunia, Leong Jun Hao, di pentas SS Purple League (SSPL) membangkitkan keterujaan buat skuad perseorangan lelaki negara selepas pemain itu dibelenggu siri kecederaan sejak Oktober lalu.

Kecederaan pinggul mengganggu perkembangan Jun Hao sepanjang musim lalu.

Kali terakhir dia beraksi di pentas kompetetif adalah ketika menyertai Terbuka Taiwan sebelum dipaksa berehat panjang.

Dia turut menerima perkhabaran kurang enak pada penghujung tahun lalu susulan laporan perubatan yang memaksanya untuk berehat lebih panjang.

Disebabkan itu, kemenangannya ke atas Soong Joo Ven ketika membantu Serdang BC menghadapi Kepong BC dalam saingan SSPL malam tadi dilihat sesuatu yang positif buat kem kebangsaan.

"Ia penampilan pertamanya selepas berehat selama tiga bulan.

"Ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, membenarkannya untuk beraksi dalam kejohanan itu.

"Namun, kami akan tetap memantau perkembangan tahap kecergasannya menerusi setiap perlawanan," kata jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan.