Berbaki lima hari sebelum aksi final Jelajah Dunia BWF membuka tirai perlawanan di Bangkok, Thailand, Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkongsi bahawa masih terdapat beberapa aspek mental yang harus dikukuhkan.

"Semua yang layak ke Jelajah Dunia ini sudah semestinya sasarkan juara. Langkah pertama, kita perlu melepasi peringkat kumpulan namun kalau kita sasar juara seawal peringkat itu, ia akan memberikan tekanan kepada mereka.

"Undian juga belum keluar, kalau lihat berdasarkan ranking Jelajah Dunia, tidak mustahil untuk mereka bertemu dengan gandingan yang kuat. Jadi kita perlu lihat dahulu dan baru dapat menetapkan sasaran jelas ke mana kita boleh capai," kata Rexy menerusi Nadi Arena.


Itu perkongsian Rexy mengenai persiapan wakil negara menjelang final Jelajah Dunia BWF yang bakal berlangsung 7 hingga 11 Disember ini.

Rexy juga berkongsi bahawa sasaran utama wakil negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah adalah untuk melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu.

Selain itu, BAM juga telah memutuskan gandingan baru bagi kategori beregu campuran untuk menghadapi musim 2023.

"Ia sudah berjalan dan gandingan itu telah dimuktamadkan iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing, Choong Hon Jian-Yap Ling, Loo Bing Kun-Yap Cheng Wen serta Yap Roy King-Valeree Siow.

"Sudah beberapa kali kita gandingkan mereka, jadi kita nampak mereka perlu dikekalkan," katanya.

Sementara itu, Pearly Tan-M.Thinaah menerima penyuntik semangat terbaik menjelang aksi final Jelajah Dunia BWF.

Pearly dan Thinaah menerima insentif sebanyak RM50,000 daripada 100Plus bagi kejayaan mereka meraih kejuaraan Terbuka Perancis.