Juara Terbuka Malaysia 2002, James Chua, sah akan menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memantapkan bahagian kejurulatihan perseorangan negara.

James akan mula melaporkan diri pada 18 Julai ini dan berharap dapat memacu perseorangan wanita.

"Perseorangan wanita tidak mempunyai jurulatih dan saya berminat terhadapi posisi itu.

"Sebelum ini, (Pengarah Perseorangan Kejurulatihan BAM) Wong Choong Hann menjelaskan pemain lelaki dan wanita berlatih bersama dan dia mempelawa saya untuk menyertai pasukan terlebih dahulu, kemudian barulah peranan saya diaturkan.

"Sekarang mereka sudah putuskan. Saya sedia sahut cabarannya.

"Mutu pemain sudah ada dan tugas jurulatih adalah membantu mereka mengatasi halangan itu.

"Perkara paling utama buat pemain menembusi saingan antarabangsa dan untuk menjadi pemain handalan mereka perlu mengatasi halangan itu.

"Saya harap dapat membantu mereka melepasi rintangan tersebut," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Jawatan itu sebelum ini diisi Indra Wijaya sebelum jurulatih kelahiran Indonesia itu meninggalkan BAM untuk bekerjasama dengan Lee Zii Jia.