Persaingan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam kem beregu lelaki kebangsaan dihangatkan lagi dengan amaran daripada beregu meningkat naik, Izzuddin Rumsani yang bergandingan dengan Goh Sze Fei.

Izzuddin dan Sze Fei sebenarnya seangkatan dengan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sebelum gandingan mereka diuji dengan kemelut peribadi.

2019 menyaksikan kebangkitan semula daripada Izzuddin dan Sze Fei yang merekodkan dua penampilan separuh akhir dan satu suku akhir menerusi lima penyertaan dalam kejohanan terbuka.

Meskipun berada di ranking k-35 dunia waktu ini, Izzuddin percaya peluang ke Sukan Olimpik Tokyo terbuka buat mana-mana pasangan Malaysia yang dahagakan kejayaan, termasuk mereka.

Dalam laluan ke separuh akhir Terbuka Jerman, Izzuddin dan Sze Fei membuktikan mereka juga mampu menjadi sandaran Malaysia dengan menewaskan Aaron dan Wooi Yik.

"Tahap keyakinan kami meningkat selepas mengatasi Aaron dan Wooi Yik.

"Buat masa ini, kami mahu meningkatkan prestasi dalam kejohanan seterusnya dan peluang untuk layak ke Sukan Olimpik masih lagi terbuka buat mana-mana pasangan," kata Izzudin.